|
PARIT BUNTAR, 22 Nov. :Dewan Pemuda PAS Parit Buntar bersedia menghantar 1,000
pemuda ke Himpunan Pemuda PAS Perak (HEMPAP) yang dijadualkan
berlangsung pada 27 November ini di Dataran Purnama, Kampung Kedah di
sini.
Menurut Timbalan Ketua Pemuda PAS Parit Buntar, Hairul Nizam
Ishak, pimpinan pemuda diperingkat kawasan telah turun padang ke
cawangan-cawangan memberikan taklimat menemui seluruh jentera
pilihanraya pemuda untuk hadir ke program yang bakal menghimpunkan
10,000 pemuda dari seluruh negeri Perak.
Objektif program ini diadakan adalah untuk menghimpunkan seramai mungkin
petugas pilihanraya pemuda PAS yang akan digembeling peranan mereka
untuk menghadapi Pilihanraya Umum 13 (PRU13) tidak lama lagi.
Antara lainnya ia bertujuan menyemarakkan semangat motivasi para pemuda
melalui ucapan amanat yang bakal disampaikan oleh pimpinan pemuda PAS
diperingkat negeri dan juga nasional. Semua pemuda dan hadirin diminta
memakai baju kuning bagi menyemarakkan gelombang kuning sebagai tanda
kekuatan pemuda PAS di negeri Perak.
Program tersebut akan dimulakan jam 9.00 pagi. Pelbagai aktiviti dan
acara telah diatur seperti ucapan pimpinan seperti Ketua Pemuda PAS
Malaysia Ustaz Nasruddin Hasan, Timbalannya Ustaz Nik Abduh Nik Aziz,
Dato' Seri Mohd Nizar Jamaluddin, Ustaz Idris Ahmad, Pesuruhjaya PAS
Perak, Ustaz Abu Bakar Husain dan ramai lagi bakal berucap memberikan
amanat kepada ribuan pemuda pada hari tersebut.
Dalam program ini juga adalah pelancaran Amal Riders Club (ARC) negeri
Perak yang menampilkan bekas jaguh motosikal seperti Wazi Abdul Hamid
dan Yaser Said, gerai jualan, derma darah, jamuan tengahari dan banyak
lagi acara yang disediakan.
Selaku tuan rumah kita akan sedaya upaya menyediakan prasarana terbaik
bagi melicinkan perjalanan program. Justeru kami mengucapkan selamat
datang ke seluruh tetamu yang hadir ke program ini.
Untuk makluman umum
program peringkat tempatan juga akan diadakan iaitu sehari lebih awal
pada 26 November dimulakan kuliah maghrib oleh Timbalan Ketua Pemuda PAS
Malaysia, Ustaz Nik Abduh Nik Aziz di Surau Mujahideen, Kampung Kedah,
manakala jam 9.00 malam akan diadakan Pidato Pentas Pemuda yang
menampilkan Ustaz Nasrudin Hasan, Ustaz Nik Abduh Nik Aziz, Dr Raja
Ahmad Al-Hiss, Mohd Sani Hamzan dan Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr
Mujahid Yusof Rawa.
Manakala 27 November selepas program HEMPAP pada pagi itu, Dewan
Muslimat PAS Parit Buntar akan melancarkan Jentera Pilihanraya Muslimat
PAS Parit Buntar pada jam 3.00 petang dan acara penutup diisi dengan
program ceramah oleh Ustaz Idris Ahmad dan Ustaz Sidek Noor pada jam
9.00 malam.
Justeru kita mengalu-alukan seluruh pemuda dan penyokong PAS agar dapat
hadir ke program ini. Kita berharap himpunan ini akan dapat menyuntik
semangat para petugas bagi menawan kembali negeri Perak dalam PRU13yang
dirampas secara zalim oleh UMNO/BN.
|